Selamat Hari raya buat pembaca blog Ayra Zahra. Hari ni dah hari raya ke 8 dah. Cik writer x kemana pun raya ni. Duduk rumah tunggu orang datang beraya. Hihihihi.. Seminggu tak update blog ni kan. Rasanya ada yang menunggu sambungan BTW kan. Haaa arini seperti biasa sambungan BTW dua bab seterusnya. Mekasih u ollss singgah dan baca.. Siapa perempuan yang Ziyad mimpikan tu dan apa kaitannya mereka akan terjawab nanti . :)
BAB DUA BELAS
ZIYAD pulang ke kampung Nilam agak lewat malam itu. Lama dia bersembang dengan keluarga Durrani. Malam ini dia tersedar sesuatu . Dia sedar antara dia dan Dura sama-sama kehilangan orang tersayang tetapi sekurang-kurangnya dia sempat bahagia bersama arwah Nurul dan mampu menjadi seorang suami yang baik tetapi tidak pada Durrani. Di saat hari bahagianya dia di kejutkan dengan kehilangan suami yang baru di nikahinya. Bukan mudah untuk Dura hadapinya.
Encik Idris telah menceritakan serba sedikit kisah Dura dan arwah Mikhail. Jauh di sudut hati Ziyad dia amat bersimpati dengan Durrani.
“Ziyad lambat balik. Ke mana?” Soal Datin Huwaidah sebaik saja melihat wajah anaknya. Pada ketika itu Ziyad sedang menutup pintu utama rumahnya.
“Ziyad ke rumah lama ambil kunci. Hari ni penyewa rumah tu dah pindah jadi pergi ambil kuncilah. Lepas tu Ziyad bertemu dengan orang kampung kita duduk bersembanglah sekejap dekat sana.” Terang Ziyad lalu duduk di sofa.
“Orang kampung kita ? Siapa?” Soal Datin Huwaidah dengan pelik.
“Pak cik Idris. Dia orang kampung ni dan untuk pengetahuan mama juga lelaki yang accident dengan arwah Nurul dulu tu menantu Pak Cik Idris la.” Jelas Ziyad sewaktu memandang wajah mamanya.
“Oh mama kenal. Dia tinggal dekat situ juga ke?”
“Bukan Pak Cik Idris tapi anak dia Durrani. Rumah dia bersebelahan dengan rumah Ziyad mama. Alang-alang jumpa tu Ziyad serahkan kembali barang yang dia tercicir dulu. Kalau Ziyad tahu dia orang kampung ni dah lama Ziyad cari dia mama bagi balik gelang dia tu.” Tambah Ziyad. Dahi Datin Huwaidah mula berlapis.
“Gelang apa pula ni Ziyad. Mama tak fahamlah. Cubalah kamu cakap biar jelas dan terang kasi mama yang tua ni faham.” Datin Huwaidah membetulkan sanggul rambutnya.
“Macam ni mama. Sebenarnya…” Ziyad menceritakan bagaimana dia menemui gelang emas milik Durrani. Datin Huwaidah pula tekun mendengar cerita dari anak lelakinya.
“Macam tu rupanya. Haaa barulah mama faham.” Jawab Datin Huwaidah sebaik saja selesai mendengar penerangan dari anaknya.
“Apa yang fahamnya tu? Amboi buat perbincangan meja bulat tak ajak abang sekali ke?” Datuk Zahir menyampuk dengan tiba-tiba.
“Perbincangan meja bulat apanya bang. Ini meja depan kita ni bentuknya empat segi.” Jawab Datin Huwaidah dengan selamba. Ziyad sudah ketawa kecil. Datuk Zahir pula menggelengkan kepalanya.
“Apa yang awak dengan Ziyad bincangkan ni?” Datuk Zahir melabuhkan punggungnya di hadapan Ziyad.
“Ini Ziyad ceritakan dekat saya pasal kisah Durrani. Isteri kepada lelaki yang meninggal dalam kemalangan dengan arwah Nurul dulu.” Jelas Datin Huwaidah.
“Oh pasal tu rupanya. Macam mana pula Ziyad boleh kenal dengan Durrani?” Soal Datuk Zahir dengan pelik.
“Semuanya sebab gelang emas milik Dura papa.” Jelas Ziyad.
“Eh sekejap. Kamu kata tadi nama dia Durrani?” Soal Datuk Zahir dengan tiba-tiba bila dia mengingati satu nama ini.
“Aaah nama dia Durrani. Kenapa papa kenal dia ke? Dia memang asal kampung ni.” Soal Ziyad pula.
“Yang masa kemalangan dulu papa tak kenal dia. Papa kenal ayah dia. Masa tu pun berbincang dengan keluarganya. Kalau tak silap papa Durrani pernah datang ke mari . Dia bawa balik puteri ke mari.” Datuk Zahir sudah ingat wajah gadis yang menghantar cucunya pulang tempoh hari.
“Hah bawa balik puteri? Kenapa dengan puteri bang? Dia culik puteri ke?” Soal Datin Huwaidah bertalu-talu. Dia langsung tidak tahu menahu tentang hal ini.
“Awak ni janganlah fikir yang bukan-bukan. Hari tu awak ikut Zikri dan Washfa ke kubur arwah Nurul kan. Puteri ni main dengan arnab dekat halaman rumah. Masa awak dengan anak menantu keluar lupa nak tutup pagar . Arnab lari sampai luar rumah jadinya cucu kesayangan awak tu pun kejarlah lepas tu dia sesat. Perempuan yang nama Durrani tu yang datang hantar puteri balik ke mari. Katanya dia jumpa puteri dekat kedai Pak Din.” Terang Datuk Zahir. Dia terlupa untuk memberitahu hal itu pada isteri dan anak menantunya tentang kejadian itu. Ziyad terkejut seketika.
“Maknanya memang dialah hari tu . Dia keluar dari rumah kita. Ziyad ingatkan itu perasaan Ziyad saja.” Giliran Ziyad pula menyampuk sambil mengingati kejadian lalu.
“Nasib baik orang yang baik hati jumpa cucu kita . Kalau di buatnya orang jahat yang jumpa saya tak dapat bayangkan apa akan jadi dengan cucu kita bang. Errmm memang cuai betul saya hari tu lupa nak tutup pagar.” Datin Huwaidah mengurut dadanya dengan lembut sempat dia beristigfar di dalam hati memikirkan kecuaiaan yang mungkin membawa padah pada cucu kesayangan.
“Kita ni bang nama je duduk sekampung tapi jarang sangat nak jumpa orang-orang kampung .” Luah Datin Huwaidah lagi.
“Kita ni bukan keluar sangat. Kalau keluar pun pergi surau yang dekat dengan rumah kita ni. Kalau yang rumahnya dekat-dekat ni kenallah juga tapi kalau rumah yang dekat belakang sana manalah nak kenal sangat.” Jawab Datuk Zahir pula. Datin Huwaidah setuju dengan kata-kata suaminya itu.
Ziyad pula seakan-akan sedang memikirkan sesuatu. Apa yang bermain di dalam fikirannya di saat ini?
Mengapakah aku dan keluarga Durrani di pertemukan? Aku yakin pasti ada sebabnya di sebalik pertemuan ini . Desis hati Ziyad ketika ini.
Setiap pertemuan itu bersebab Ziyad Rizqi. Suatu saat nanti pasti kau akan mengerti apakah sebabnya Allah mempertemukan kamu dan Durrani.
Allah mempertemukan untuk satu alasan sama ada untuk belajar atau mengajar.
“MACAM mana dengan rumahtangga Washfa dengan Zikri?” Soal Umi sewaktu menghulurkan air minuman untuk Washfa. Hari ini Washfa kembali ke rumah anak yatim Sinar Harapan untuk bertemu dengan insan yang telah mendidik dan membesarnya selepas kehilangan kedua orang tuanya.
“Alhamdulilah umi. Rumahtangga kami aman dan bahagia.” Jawab Washfa dengan senyuman manis lalu menyambut air minuman.
“Alhamdulilah. Baguslah kalau macam tu. Ini perempuan yang bernama Efa tu masih menganggu rumahtangga korang berdua ke?” Soal umi lagi. Sekali lagi Washfa tersenyum lalu menganggukkan kepalanya.
“Aaah umi . Bukan hari ni je tapi dah banyak tahun dah .” Jawab Washfa dengan tenang. Kedengaran uminya menghela nafas dengan berat sekali.
“Apa lagi yang dia nak ? Nasihat umi satu je kalau ada apa-apa pun berlaku antara kamu dengan Zikri bawalah berbincang. Perempuan itu akan berusaha untuk dapatkan suami kamu Washfa. Jangan pandang remeh ya. Umi bukan apa cuma bimbangkan kamu dengan puteri. Manusia yang gilakan pada cinta ni sanggup lakukan apa saja asalkan dia bahagia. Peduli apa dia kalau orang lain menderita.” Umi menasihati Washfa.
“Washfa faham umi. Janganlah risau. Umi doa-doakan yang baik untuk Washfa dan keluarga ya. Doa ibu ni mujarab umi. Siapa lagi yang Washfa ada selain umi dan adik tapi …”
“Sabar sayang. Umi tahu Washfa tidak pernah berputus asa mencari adik kamu. Maafkan umi ya sebab semuanya salah umi kerana pisahkan kamu dan juga adik kamu . Umi pun tak tahu ke mana kawan umi yang mengambil adik kamu untuk dijadikan anak angkat dia tu menghilang. Selepas dia pindah dah terputus hubungan. Maafkan umi ya .” Insan bergelar umi itu mengusap bahu Washfa. Dia sudah menganggap Washfa seeprti darah dagingnya sendiri.
“Tak mengapa umi. Washfa faham. Umi dah terangkan dulu sebabnya. Washfa tak pernah salahkan umi sebab berikan adik untuk di jaga oleh orang lain. InsyaAllah suatu hari nanti kalau di izinkan oleh Allah Washfa pasti akan bertemu dengan adik Washfa umi. Cuma satu je yang Washfa harapkan yang dia bahagia di mana saja dia berada.” Jelas Washfa lalu melentokkan kepalanya ke bahu umi.
“InsyaAllah nak. Satu hari nanti umi yakin kita akan bertemu semula dengan dia.”
“Terima kasih umi sebab didik dan besarkan Washfa. Sayang umi dunia akhirat.” Washfa tersenyum manis sewaktu mendongakkan kepalanya memandang wajah tua insan bergelar umi.
“Sama-sama. Umi pun sayangkan Washfa .” Mereka sama-sama tersenyum.
“Mama..Mama..” Jerit puteri yang sedang berlari ke arah Washfa.
“Ya sayang..” Washfa memeluk anaknya. Puteri tersengih.
“Cucu tok umi main dengan siapa tadi?” Soal Umi kepada cucunya.
“Main dengan kawan-kawanlah.” Jawab puteri. Umi terus menarik puteri dengan perlahan dan memeluk cucu kesayangannya itu. Wajah puteri sewaktu bayi mirip kepada wajah adik Washfa .
HARI itu Dura ke pejabat dengan senyuman gembira. Hatinya sungguh ceria apabila setiap kali matanya terpandangakan pada gelang tangan emas miliknya berada di tangannya. Fifie yang melihat wajah Dura yang ceria itu pun turut merasa pelik. Susah nak tengok wajah Dura ceria sebegini rupa.
“Dura amboi wajah ceria hari ni. Ada khabar gembira ke?” Usik Fifie pada teman baiknya.
“Iya ke? Nampak sangat eh?” Soal Dura . Fifie menganggukkan kepalanya.
“Sangat. Ada apa-apa ke? tak nak share ke?” Soal Fifie.
“Aku gembira sangat sebabnya dah jumpa barang yang hilang. Ini dia.” Dura menayangkan gelang emas di tangannya. Fifie menilik pergelangan tangan Dura. Jelas sekali dia terkejut.
“Eh dah jumpa. Mana kau jumpa ni. Patutlah wajah ceria je hari ni.” Soal Fifie ingin tahu. Dia sememangnya mengetahui apa yang berlaku pada Dura.
“Ada orang jumpa gelang ni.” Balas Dura . Terangat keningnya.
“Siapa siapa siapa?” Dura tersenyum sebelum menceritakan apa yang telah berlaku padanya dua tiga hari lepas.
“Alhamdulilah. Tak sangkakan dia simpan dan kembalikan gelang ni pada kau. Cantiklah ukiran ni. Aku pun suka tau . Part paling suka tengok sekali ukiran nama dalam tulisan jawi ni. Unik sangat sebab jarang tau nak tengok orang tempah barang kemas buat nama dalam bahasa jawi.”
“Ini sajalah hadiah pemberian terakhir arwah Mikhail pada aku selain dari rumah tu. Aku memang sayangkan barang-barang yang dia sempat hadiahkan untuk aku.”Jawab Dura . Dia merasa rindu pada arwah Mikhail.
“Jaga elok-elok tahu. Jangan bagi tercicir lagi.” Pesan Fifie . Sempat dia menepuk bahu Dura.
“InsyaAllah. Aku akan jaga sebaik mungkin gelang dan rumah yang arwah Mikhail hadiahkan. Eh aku pergi sambung kerja dululah ya. Nanti kita sambung sembang lagi. Banyak kerja hari ni nak kena selesaikan.” Dura meminta diri untuk ke meja kerjanya.
Hari ini dia merasa lebih bersemangat dan gembira untuk melaksanakan tugasnya sebagai akauntan di syarikat ini.
“Okey kita jumpa lunch nanti. Aku pun nak kena masuk ke bilik meeting sekejap lagi.” Jawab Fifie lalu menilik jam di pergelangan tangannya .
Sebaik saja Dura duduk di ruangan kerjanya terus matanya menangkap frame gambar yang bersaiz 4R bersebelahan dengan komputer. Gambar dia bersama arwah suaminya pada hari persandingan mereka. Dura sengaja letakkan satu gambar itu di pejabat supaya hari-hari dia dapat melihat kenangan yang satu itu. Walaupun arwah Mikhail sudah tiada dunia tetapi kenangan itulah yang menjadi pengubat rindu buat Dura dan juga menjadi sumber inspirasi Dura agar terus tabah .
“Dura sayangkan abang.” Ujar Dura dengan perlahan lalu mengusap gambar tersebut sebelum memulakan tugas. Itulah yang dia sering kali buat setiap kali ingin memulakan tugas.
“Selamat hari lahir Dura. Abang doakan panjang umur murah rezeki dan cepat-cepat habis belajar lepas tu kerja dan tunggu abang.” Panggilan dari Mikhail. Dura terharu sangat. Walaupun jauh di mata namun Mikhail tetap mengingati tarikh lahirnya.
“Terima kasih abang. Dura rindu abang. Bila pula abang nak balik sini?” Soal Dura.
“Bila Dura rindukan abang tengoklah gambar abang. Kita memang jauh sayang untuk berjumpa. Abang dekat sini sayang dekat Malaysia.” Balas Mikhail. Dura tergelak kecil.
“Tengok gambar tak bestlah.”
“Kenapa pula?” Soal Mikhail pelik.
“Yalah dekat sini Dura tengok gambar abang kurus tinggi dan kacak entah-entah sekarang wajah abang dah berubah lain. Dura dah lama tak tengok abang tau.” Usik Dura dengan selamba.
“Amboi tak sayang mulut ke? Abang duduk sini tetap samalah. Tak ada yang berubah sayang. Abang tetap maintain seperti dulu. Kurus, tinggi serta kacak . Itu pasallah Dura suka dekat abangkan.” Balas Mikhail dengan selamba.
“Eee tak malu betul abang ni. Perasan. Siapa yang mengorat siapa dulu?” Soal Dura tidak puas hati namun selepas itu mereka sama-sama ketawa.
“Dura akaun bulan ni awak dah kemaskini belum?” Soal Puan Haslina sebaik saja tiba di meja Durrani. Pada saat ini Dura sedang ralit melihat komputer .
“Dura awak dengar tak apa yang saya tanya ni?” Soal Puan Haslina lagi lalu mengetuk meja kerja Dura.
“Errkk Puan. Maafkan saya. Ada apa Puan?” Soal Dura dengan riak yang terkejut. Astagfirullah Al’azim boleh pula aku teringat pada kenangan lalu. Omel Dura di dalam hatinya.
“Awak ni fikirkan apa Dura. Ada masalah ke?” Dengan pantas Dura menggelengkan kepalanya.
“Maafkan saya Puan .”
“Tak mengapalah. Saya nak tanya akaun bulan ni awak dah kemaskini ke?” Soal Puan Haslina.
“Belum lagi. Puan dah nak semak ke?” Soal Dura dengan jujur.
“Bukan nak semak lagi. Ada penambahan sikit dalam akaun tu. Jadi saya nak awak update yang baru ya sebelum bagi pada saya.” Jelas Puan Haslina lalu menghulurkan satu fail pada Dura .
“ Baik puan.” Dura tersenyum pada majikannya.
“Terima kasih.” Selepas itu Puan Haslina terus berlalu. Dura menarik nafas lega. Nasib baiklah mood big bos dia okey hari ni. Kalau tak pasti dimarahi kerana termenung sebentar tadi.
*****************************
BAB TIGA BELAS
MALAM itu , Ziyad terlena awal dari biasa. Entah kenapa malam itu matanya tersangat mengantuk. Dia menonton carekarama pun tak sempat habis. Kelopak mata seakan-akan digam manakala mulutnya asyik menguap. Sebaik saja dia merebahkan dirinya ke katil terus terlena. Mengantuk benar si Ziyad ni.
Jam di dinding terus berdetik dari satu angka ke angka. Sedar tak sedar jarum pendek sudah pun berada di angka empat. Ini bermakna sudah pukul empat pagi namun tidur Ziyad bagaikan terganggu ketika itu. Pasti ada yang menganggu lenanya ketika ini. Ziyad mengiring ke kanan dan ke kiri.
“Nurul…” Bibir Ziyad memanggil nama isterinya dengan perlahan. Nampak gayanya dia bermimpi tentang Nurul. Pasti Ziyad tersangat merindui arwah Nurul.
“Nurul jangan pergi. Abang nak ikut sekali.” Jerit Ziyad sewaktu berada di dalam mimpi. Nurul menoleh lalu tersenyum pada suaminya sebelum meneruskan perjalanan. Ziyad mengekori Nurul dari belakang. Jelas sekali Ziyad kelihatan bingung di saat ini.
“Aku dekat mana ni? Tak pernah pun datang sini?” Soal Ziyad lagi. Dia memandang ke kanan dan kiri. Langkahnya terus ke depan mengejar langkah isterinya. Apabila sampai di suatu tempat langkah Ziyad terus terhenti. Dia terkejut melihat apa yang ada di depannya kini.
“Sayang…” Ziyad memanggil isterinya. Matanya di tenyeh berkali-kali melihat wajah-wajah yang ada di hadapannya. Bukan wajah Nurul saja yang ada di depannya tetapi ada tiga wajah.
“Nurul… Dura dan….” Panggil Ziyad. Perempuan yang berdiri bersebelahan dengan Dura itu menganggu fikiran Ziyad ketika ini. Dia langsung tidak mengenali wajah ini tetapi dia seperti pernah melihat wajah ini sebelum ini. Di mana dia sendiri tidak pasti. Ketiga-tiga wajah mereka memandang ke arah Ziyad dengan wajah tanpa senyuman.
“Apa semua ni? abang tak fahamlah Nurul. Mana Nurul kenal Dura dan perempuan ni?” Soal Ziyad sambil menggarukan kepalanya. Nurul langsung tidak menjawab soalan yang di tanya oleh suaminya.
“Dura awak kenal isteri saya ke?” Dahi Ziyad mula berkerut apabila persoalannya langsung tidak di jawab oleh mereka.
Ziyad melangkah dengan perlahan-lahan mendekati ketiga-tiga wanita yang sedang berdiri di hadapannya. Namun sebaik saja dia melangkah dua tapak ke depan terus ketiga-tiga perempuan tersebut hilang di telan kabus putih yang dia sendiri tidak pasti mana datangnya.
“Nurul, Dura..” Panggil Ziyad namun wajah-wajah itu tadi sudah tiada. Mata Ziyad meliar tiga ratus enam puluh darjah namun langsung dia tidak ketemu. Kepala Ziyad mula berdenyut. Apakah semua ini. Mana mereka? Soal hati Ziyad. Dia memegang kedua-dua belah kepalanya.
Ziyad berlari-lari mengeliling tempat tersebut. Dia masih tidak berpuas hati dan masih mencari wajah-wajah sebentar tadi. Di kotak fikirannya ketika ini masih terbayangkan wajah seorang wanita yang berdiri bersebelahan dengan Dura. Siapa perempuan itu? Kenapa hati aku nak sangat mengetahui siapa dia. Di manakah aku bertemu dengannya sebelum ini? Hati Ziyad berbicara lagi.
“Ziyad…” Suatu suara memanggil Ziyad dari belakang. Ziyad menoleh dengan pantas. Dia tersentak apabila melihat wajah perempuan yang berada di sebelah Dura sebentar tadi.
“Awak kenal saya?” Soal Ziyad. Perempuan tersebut menganggukkan kepalanya dengan wajah yang sedih.
“Tapi saya tak kenal awak. Saya pernah ternampak wajah awak sebelum ni tapi saya tak tahu dekat mana.” Jelas Ziyad pada perempuan itu. Riak perempuan itu bertambah sedih dan dia menundukkan kepalanya ke bawah. Ziyad keliru di saat ini.
Baru saja Ziyad ingin bertanyakan soalan perempuan itu telah menoleh dan melangkah pergi. Sekali lagi Ziyad panik dan mula memanggil .
“Awak..awak…” Jerit Ziyad . Perempuan itu menoleh seketika sebelum meneruskan langkah meninggalkan Ziyad di situ.
“Awak tunggu sekejap.. Awak.. Awak…” Jerit Ziyad lalu berlari. Sekelip mata saja perempuan tersebut hilang.
“Awak…” Ziyad terus membuka matanya. Dia tersedar dari mimpi. Ziyad bangun dari pembaringan dan duduk bersandar di kepala katil .
“Astagfirullah Al’azim. Ya Allah apa maksud mimpiku ini. Kenapa ada Durrani dan perempuan yang aku tidak kenali itu. Apa sebenarnya yang kau cuba tunjukkan kepadaku Ya Alah. Aku keliru dan bingung di saat ini. Kenapakah aku mimpikan tiga wanita serentak .” Luah Ziyad dengan perlahan.
AWAL-AWAL pagi lagi Durrani bersiap. Dia mengenakan pakaian serba putih hari ni. Dura melihat ke tingkap rumahnya dan melihat suasana pagi yang sungguh mendamaikan dan ketika itu cahaya matahari masih lagi samar. Awal pagi Dura bersiap dia ingin menuju ke suatu tempat. Sudah lama dia tidak ke sana.
“Dura nak ke mana awal pagi ni?” Soal Puan Yusnita sebaik saja melihat anak perempuannya menutup pintu bilik. Dura menoleh dan memandang wajah ibunya yang pelik melihat dia bersiap di awal pagi sedangkan hari ni adalah hari minggu.
“Ibu .. Dura nak ke kubur sekejap. Dura nak pergi kubur Kak Adah. Ibu nak ikut sekali tak?” Soal Durrani dengan senyuman. Puan Yusnita tersenyum mendengar jawapan dari mulut anaknya.
“Boleh juga. Ibu pun dah lama tak pergi sana. Tunggu ibu bersiap sekejap ya.” Pinta Puan Yusnita sebelum berlalu ke biliknya. Durrani menganggukkan kepalanya sebelum menuju ke ruang tamu menunggu ibunya bersiap .
“Ita awak nak ke mana pagi-pagi ni?” Soal Encik Idris yang baru saja selesai mandi.
“Dura ajak pergi ke kubur arwah Adah bang. Dah lama kita tak pergi sana. Rindu saya pada arwah Adah bang.” Jawab Puan Yusnita dengan sebak. Teringat pada arwah Adah yang sentiasa membuatkan dia dan keluarganya ceria. Hadirnya Adah dalam keluarga mereka menambahkan keceriaan dan kebahagiaan keluarga Puan Yusnita dan Encik Idris.
“Kalau macam tu abang pun nak ikut sekali la.” Encik Idris turut sama bersiap. Puan Yusnita tersenyum melihat gelagat suaminya. Dia bukan tidak tahu yang suaminya memang terlalu sayangkan arwah Adah.
“Saya dengan Dura tunggu abang dekat luar ya.” Puan Yusnita sudah pun siap dan ketika ini pula Encik Idris sedang menyarungkan baju.
Dura membersihkan pusara milik arwah Adah. Dia membuang daun-daun kering yang bertaburan di atas pusara tersebut. Puan Yusnita dan Encik Idris pula mencabut rumput yang tumbuh di situ.
“Ibu dah lama kita tak datang ke mari kan ibu.” Soal Dura lalu memandang wajah ibunya.
“Betul tu. Kita dah lama tak datang sini. Bukan kita tak nak datang tapi itulah jauh sikit tempatnya. Arwah Kak Adah kamu memang mahu di kebumikan di sini .” Balas Puan Yusnita.
“Kak Adah maafkan Dura sebab dah lama tak datang ke mari. Maafkan Dura.” Ujar Dura dengan perlahan lalu mengusap batu nisan yang tertera nama Adah.
Kak Adah terima kasih di atas segala-galanya. Kasih sayang Kak Adah curahkan pada Dura tak mampu Dura nak balas. Dura hanya berdoa pada Allah supaya meletakkan Kak Adah di tempat orang yang beriman. Kak Adah adalah insan yang paling baik dan seorang kakak yang sangat perihatin . Dura sayangkan Kak Adah. Rintih hati Durrani di saat ini.
“Ibu Dura harap sangat yang suatu hari nanti Dura akan jumpa dengan orang yang telah buat Kak Adah menderita. Hari itu pasti akan tiba dan hanya satu saja yang Dura nak tanya pada orang itu. Kenapa dia buat Kak Adah menderita?” Dura memandang wajah orang tuanya dengan mata yang berkaca-kaca.
“Dura ayah tak pernah ajar untuk berdendam dengan sesiapakan. Kita tak tahu siapa dia tapi yakinlah apa yang berlaku pasti ada sebabnya. Ayah yakin orang yang buat begitu pada arwah Kak Adah kamu pasti akan menerima balasannya. Allah lebih mengetahuinya Dura. Setiap perkara yang kita lakukan di atas dunia ini di catit semuanya. Baik buruk pasti ada balasannya.” Terang Encik Idris.
“Dura tahu ayah tapi Dura harap sangat suatu hari nanti kita akan menemui jawapan itu.” Balas Dura.
“Sudahlah tu mentari dah semakin terik ni. Marilah kita balik dulu.” Ajak Puan Yusnita dengan perlahan.
Hatinya bagaikan di carik-carik setiap kali mengingati apa yang berlaku pada anak keduanya itu. Masih segar dalam ingatannya bagaimana penderitaan yang di alami oleh arwah Adah sewaktu dia sakit dahulu dan betapa mulianya hati seorang bernama Adah yang sanggup berkorban demi orang yang di sayanginya.
Adah tenanglah kau di sana nak. Ibu sentiasa mendoakan kesejahteraan kamu di sana nak. Sesungguhnya kamu adalah seorang anak yang baik dan solehah. Syukur Ya Allah engkau hadiahnya pada aku buat seketika untuk di didik . Rintih hati Puan Yusnita. Dia mengesat air matanya dengan perlahan-lahan. Dura yang perasankan itu terus memeluk bahu ibunya. Dura tahu ibunya lebih bersedih dengan kehilangan arwah Kak Adah.
“Jom ibu ayah kita balik.” Dura sudah pun berdiri. Encik Idris dan Puan Yusnita turut bangun dan melangkah meninggalkan tanah perkuburan tersebut.
SEORANG gadis baru saja keluar dari perut teksi. Dia melihat rumahnya dengan sebuah senyuman manis. Rindu pada rumahnya. Sudah lama dia tidak pulang ke mari. Kini cuti semester sudah bermula jadi dia kembali ke kampung untuk bertemu dengan mama dan papanya. Gadis tersebut melangkah ke dalam rumahnya.
Baru saja kakinya ingin melangkah ke arah pintu utama , dia melihat seorang lelaki sedang duduk di tepi kolam ikan. Dengan sengihan di bibir dia meletakkan beg rodanya di tepi pintu. Dengan perlahan-lahan dia mendekati lelaki tersebut. Dia ingin mengejutkan lelaki itu. Mungkin juga.
“Haaaa.. abang ngah jauh termenung..” Sergah gadis tadi sewaktu memegang kedua-dua bahu abangnya. Ziyad terkejut lalu mengurutkan dadanya. Lamunannya sudah hilang entah ke mana.
“Astagfirullah Al’azim. Hey budak bertuah ni bukannya nak bagi salam tapi terkejutkan abang ngah pula. Makin nakal ya sekarang ni.” Ujar Ziyad sewaktu menoleh dan tangannya sempat menarik telinga adiknya yang terselindung di sebalik tudung..
“Aduh.. aduh.. Okey.. okey. sorry la abang ngah. Una janji adik tak buat lagi. Sakitlah.” Rengek gadis tadi dengan manja sekali. Ziyad tersenyum lalu menggelengkan kepalanya sebelum melepaskan telinga adiknya itu.
“Assalamualaikum…” Gadis kecil itu memberi salam sambil menggosok telinganya yang terlindung di sebalik tudung.
“Waalaikummusalam. Haa itu baru betul ini tak main sergah je. Nasib baik abang ngah tak ada sakit jantung tahu. Ini kenapa balik tak bagitahu? balik naik apa?” Soal Ziyad sambil berdiri . Gadis itu mencebik.
“Una balik dengan kapal terbanglah. Abang long sponser tiket.” Sengih adik Ziyad.
“Betuah punya adik. Sekejap lagi kalau mama nampak adik pasti dia akan panggil….”
“Husna Riwiyani. Kenapa balik tak bagitahu mama sepatah pun. Una ni suka sangat buat macam ni .” Tu dia suara Datin Huwaidah sudah kedengaran . Ziyad sudah tersengih pada adiknya. Dia sudah agak itu yang akan berlaku kerana adiknya Una memang suka buat kejutan. Balik dengan mengejut mana orang tuanya tak marah.
“Yes mama. Una dah balik.” Jerit Husna lalu berlari dan mendapatkan mamanya. Husna menggapai tangan mamanya lalu tersengih sebelum mengucup tangan itu dan selepas itu dia terus memeluk mamanya dengan erat sekali.
“Kenapa balik tak bagitahu. Berapa kali mama nak pesan ni?” Soal Datin Huwaidah sambil meleraikan pelukan dari Husna.
“Surprised.” Sengih Husna dengan gayanya sekali.
“Una…” Panggil Datuk Zahir pula apabila ternampak kelibat anak bongsunya.
“Hai papa.” Sapa Husna lalu mendekati papanya sebelum bersalam.
“Anak bongsu mama ni memang nakal. Tak dengar kata.” Ziyad bersuara di belakang mamanya. Husna menoleh lalu menjengkilkan matanya sebelum mencebik pada abang ngahnya.
“Balik naik apa? Una telefonlah mama atau papa bagitau ini tak suka sangat balik dengan kejutan. Tup-tup dah terpacak dekat rumah.” Tegur Datuk Zahir sambil mengeluh dengan perlahan. Dia sudah masak dengan karenah anak bongsunya yang suka sangat buat kejutan.
“Alah Una tak nak menyusahkan mama dengan papa. Una balik naik fligt . Abang long sponser papa.” Jawab Husna lalu memeluk lengan papanya.
“Abang long kamu pun satu hal bukan nak bagitahu yang Una nak balik.” Bebel Datin Huwaidah pula dengan gelengan kepala. Abang long dengan adik bongsu sama kepala.
“Alah mama janganlah marah. Una je yang tak nak abang long bagitahu mama dengan papa yang Una balik hari ni. Una rindukan mama , papa dan abang ngah tau. Una cuti lama bolehlah nak manja-manja dengan mama.” Sengih Husna dengan comel sekali.
“Dahlah tu pergi naik bilik. Mama tahu anak kesayangan mama ni penat. Pegilah rehat dulu . Cuti lama ada juga kawan mama dekat rumah ni.” Balas Datin Huwaidah. Husna tersenyum lagi lalu mengambil begnya dari Ziyad. Entah bila masa Ziyad menarik beg adiknya itu ke dalam rumah.
“Terima kasih abang ngah. Nanti kita cerita ya. Una nak tau juga apa yang abang ngah menungkan tadi. Mesti ada apa-apa ni kan kan kan?” Soal Una . Lagaknya seperti detektif. Ziyad garu dahi.
“Mana ada abang ngah termenung. Una tak nampak ke abang ngah tengok ikan?” Dalih Ziyad. Dia bukan tak tahu perangai adik perempuannya itu. Sampai ke hujung pangkal dia akan korek cerita.
Masalah betullah kalau peminat cerita detektif conan ni balik. Ada je yang dia nak tahu. Gerutu Ziyad di dalam hatinya.
“Hello. Ini Husna Riwiyani okey. Selagi tak dapat jawapan selagi itu detektif Una ni akan siasat tahu. Abang ngah jangan nak cuba-cuba larikan diri ya. Una naik atas dulu rehat. Malam nanti bersiap sedia untuk di soal siasat okey.” Jawab Husna dengan selamba lalu menarik beg rodanya menuju ke tingkat atas. Ziyad menggelengkan kepalanya. Datuk Zahir dan Datin Huwaidah turut menggelengkan kepala. Anak bongsunya memang begitu dan itu satu-satunya anak perempuan yang mereka miliki.
Bersambung....
NotaTersepit : Dalam bulan puasa tahun ni cik writer dah dapat jawapan status manuskrip cik writer yang pertama dan kedua yang bertajuk DIRIMU SATU dan AKU DI TAKDIRKAN UNTUKMU. Dukacitanya cik writer nk umumkan yang kedua-dua mss tersebut tak lulus penilaian. Jadi kemungkinan besar cik writer akn rombak balik dua2 cerita tersebut jadikan cite yang baru serta tajuknya juga akan berubah. Nk biarkan macam tu rasa sayang lak jadi jalan terbaik rombak dan baiki apa yang patut dululahkan. InsyaAllah kedua-dua cerita ini akan di publish semula dekat blog. Bila? tak pasti lagilah kan sebab sekarang ni cik writer nk siapkan dulu cite BTW ni. Mungkin tahun depan kot. 2 mss nk kena rombak. 1 mss yang baru berangan nak tulis lepas BTW. Mudah-mudahan dapatlah cik writer siapkan semuanya. Kalau tiada kegagalan pada hari ni tak mungkin kita akan menghargai kejayaan pada kemudian hari kan. Terima kasih yang baca dua e-novel ni sebelum ni. Bila mula editing dan rombak kedua-dua mss tu barulah cik writer delete entry DMS dan ADU yg lama tu dan gantikan yg baru . =)
No comments:
Post a Comment
Tq sudi komen.:D