Ni dia sambungan DPC untuk minggu ni . Walaupun sibuk sangat minggu ni sempat jugalah update blog tercinta ni. Hehehe. Mekasih ya singgah dan baca :D
Tajuk ini mungkin berubah kelak... :)
Mss Asal: Dirimu Satu - Jangan konpius ya-
BAB LIMA BELAS
AMANI bersalaman dengan nek Pah serta orang tua Syed Rafique. Hampir dua jam dia berada di villa tersebut. Dia dan keluarganya sudah siap untuk pulang.
“Nek Pah harap Amani tak bencikan kami sekeluarga. Lagi satu nek Pah harap sangat yang Amani boleh pertimbangkan hasrat kami tu. Nek Pah pun tak tahu berapa lama lagi nek Pah boleh bernafas di atas dunia ni.” Luah Nek Pah sewaktu memeluk Amani dengan erat sekali. Amani diam membisu seribu bicara.
“Umi bagilah Amani masa. Janganlah paksa dia.” Pujuk Puan Sharifah Noraini pula.
“Umi bukan apa Aini. Hati umi tak tenang. Yalah nenek Amani meninggal pun sebab terkejut dengan kehilangan anak kamu dua tahun lalu. Perkara itu seringkali menghantui umi . Rasa bersalah terus bersarang di dalam hati umi. Kami gagal menyatukan dua hati. Niat kami hanya ingin melihat cucu kami bahagia.” Jelas Puan Sharifah Maimun sambil mengesat air mata yang ingin mengalir.
“Mak Pah. Mak meninggal bukan kerana sebab kehilangan pengantin lelaki tetapi waktu tu dah tiba ajalnya. Siapa kita yang nak menghalangnya.” Pujuk Puan Sa’adah. Sempat dia mengusap bahu Puan Sharifah Maimun lembut.
Kehilangan nenek Amani menambahkan lagi rasa marah Amani pada lelaki yang sepatutnya bergelar suaminya. Amar memeluk bahu adiknya. Dia tahu Amani sedang berperang dengan perasaannya. Tambahan pula apabila di kaitkan dengan arwah neneknya.
“Bagilah Amani masa. Amani tak mampu nak berikan apa-apa jawapan lagi. Apa yang berlaku pada dua tahun lalu umpama mimpi ngeri buat Amani. Nek Pah janganlah runsingkan fikiran dengan masalah ini. Jaga kesihatan nek Pah baik-baik ya. Amani tak salahkan nek Pah pun.” Jawab Amani sewaktu memandang sayu wajah nek Pah.
Jawapan dari mulut Amani membuatkan bibir nek Pah mengukir senyuman. Dengan perlahan-lahan dia mengusap pipi Amani .
“Terima kasih Amani. Inilah salah satu sebab kenapa nek Pah nak sangat jadikan Amani cucu menantu nek Pah. Amani anak yang baik .” Amani hanya menundukkan kepalanya.
“Kami minta diri dulu ya Mak Pah.” Puan Sa’adah bersalaman dengan Mak Pah sebelum beralih pada Sharifah Noraini.
“Yalah. InsyaAllah kita jumpa lagi.” Jawab Puan Sharifah Noraini dengan senyuman. Sewaktu Amani bersalam dengannya dia mengusap kepala Amani sebelum menarik Amani dalam pelukan. Jangan kata ibu mertuanya saja yang berkenan pada Amani. Dia turut berkenan dengan Amani.
Keluarga Puan Sharifah Maimun melambaikan tangan pada keluarga Amani. Kereta milik Amar kemudiannya mengundur dengan perlahan-lahan. Kereta Amar mula meninggalkan Villa mewah tersebut. Setibanya di suatu simpang kereta Amar berselisih dengan kereta yang di pandu oleh Acad.
Saat itu mata Syed Rafique memandang ke arah cermin. Dia dapat memandang wajah Amani walaupun seketika. Di kala itu Amani sedang menyandar di tempat duduk belakang.
Amani seakan-akan tenggelam dengan dunianya sendiri. Fikirannya agak bercelaru ketika ini.
“Encik Rafique okey ke?” Sapa Acad apabila memandang ke arah cermin. Dia melihat wajah majikannya yang sedang terganggu.
“Saya nampak Amani. Diorang dah balik.” Jawab Syed Rafique. Degupan jantung Syed Rafique ketika ini sungguh kencang sekali. Dia kemudiannya mengusap dadanya dengan perlahan-lahan.
“Minggu depan Encik Rafique akan berhadapan dengan dia. Saya nasihatkan agar Encik Rafique bersedia dari segi mental dan fizikal. Saya takut Amani mengamuk nanti bila berjumpa dengan Encik Rafique nanti. Nenek Amani meninggal pada hari Encik Rafique lari tau. Dia terkejut sangat waktu tu . Itu lagi menambahkan rasa marah dan benci Amani pada Encik Rafique.” Mendengar saja apa yang di katakan oleh Acad membuatkan hati Syed Rafique merasa kurang enak.
“Betul ke? Kenapa saya tak tahu. Nenek tak ada sebut pun tentang nenek Amani.” Soal Syed Rafique .
“Betul Encik Rafique. Kalau tak percaya sekejap lagi Encik Rafique boleh tanyakan sendiri pada Puan Sharifah Maimun.” Akhirnya kereta yang di pandu oleh Acad tiba di perkarangan Villa. Syed Rafique diam membisu saat ini.
“Amani jadi ke nak ke Langkawi?” Soal Puan Sa’adah dengan tiba-tiba. Amani menoleh pada ibunya.
“Mestilah jadi ibu. Minggu depan.” Puan Sa’adah kemudiannya menarik tangan Amani lalu di genggam erat.
“Ibu harap Amani tangguhkan dulu niat Amani untuk pergi bercuti di Langkawi boleh?” Dahi Amani terus berkerut.
“Kenapa pula ibu?” Soal Amani ingin tahu.
“Minggu depan abah dan ibu nak buat majlis tahlil buat arwah nenek. Jadi sebab itulah ibu Amani minta tangguhkan dulu pergi bercuti.” Jelas Encik Hisham bagi pihak isterinya. Memang dia telah merancang untuk mengadakan kenduri tahlil buat arwah ibunya dan dalam masa yang sama juga dia ingin menemukan Amani dengan Syed Rafique.
“Alah Amani dah janji dengan Maya dan Alia.”
“Ibu harap Amani pertimbangkannya.” Amani menarik nafas dalam-dalam. Berkecai terus angan-angannya untuk pergi bercuti minggu hadapan.
“Bolehlah Amani. Kita adakan kenduri tu pun untuk arwah nenek.” Pujuk Amar pula. Dia melihat Amani masih lagi membisu.
“Hmmmm yalah. Nanti Amani bagitahu pada Maya dan Alia balik nanti.” Jawab Amani dengan kecewa. Bibir Amar terus mengukir senyuman. Sempat dia menoleh ke arah abahnya yang berada di tempat duduk sebelahnya.
Mudah-mudahan rancangan mereka untuk menemukan Amani dan Syed Rafique membuahkan hasil walaupun mereka sendiri tidak pasti bagaimana reaksi dan penerimaan Amani sebaik saja bertemu dengan bakal suami yang lari pada hari pernikahan mereka dua tahun lalu. Sudah tentu luka yang tinggal parut dulu akan merobek kembali.
AMANI mendaki anak tangga dengan lemah sekali. Esok pagi abang Amar nya akan mengambilnya di sini dan lusa mereka akan bertolak balik ke kampung. Tiba saja di pintu biliknya Amani menyelongkar begnya lalu membawa keluar kunci dan terus di masukkan ke dalam tombol pintu.
Biliknya kosong. Maya belum lagi pulang. Amani yakin yang Maya dan Alia keluar bersama. Dengan bermalasan dia menanggalkan shawl milik lalu di hempaskan badannya ke tilam. Bagaimana dia harus terangkan pada Maya dan Alia tentang percutian yang di rancang itu perlu di tangguhkan sementara waktu.
“Nek wan apa yang patut Amani lakukan. Alangkah baiknya jikalau nek wan masih ada bersama dengan Amani saat ini.” Rintih Amani sendirian. Amani kembali merindui arwah neneknya.
“Amani cantiknya kamu malam ni. Terkejut mak ngah tengok kamu tau. Untung kamu Amani kahwin muda. Mudah-mudahan bahagia ya nak. Mak ngah tumpang gembira untuk kamu. Alhamdulilah.” Puji Mak ngah Amani sewaktu dia masuk ke bilik Amani. Di saat itu Amani sedang duduk di katilnya. Pakaian serba putih itu terhias cantik di badannya. Sekejap lagi Amani akan bergelar isteri orang.
“Terima kasih mak ngah. Amani rasa gementar dan takutlah mak ngah.” Jawab Amani lalu memegang tangan ibu saudaranya. Mak ngahnya tersenyum.
“Bakal pengantin sememangnya akan melalui perasaan sebegitu. InsyaAllah semuanya akan baik.” Amani mengukir senyuman manis walaupun hatinya sedikit gusar . Dia sendiri tidak tahu mengapa perasaan itu bertamu di dalam hatinya. Amani menenangkan dirinya dengan selawat serta zikir.
“Apa kamu cakap? Pengantin lelaki tak ada. Macam mana boleh jadi macam ni Pah?” Soal nek wan dengan lantang sekali membuatkan saudara-mara terdekat terkejut. Mereka terus mengerumi nek wan Amani.
“Apa yang bising-bising dekat luar tu mak ngah?” Soal Amani. Dadanya mula berdegup kencang.
“Mak ngah pun tak pastilah Amani. Sekejap mak ngah pergi tengok. Ibu kamu mana pula dia tadi.” Mak ngah Halimah terus bergegas keluar untuk mengetahui apa yang telah berlaku.
“Mak apa yang bising-bising ni. Rombongan dah sampaikan.” Soal Puan Sa’adah pada ibunya. Dia memandang wajah ibu serta Mak Pah silih berganti. Sharifah Noraini sudah risau memikirkan kehilangan anaknya saat ini. Dia terkejut apabila mengetahui yang anaknya sudah menghilangkan diri awal pagi tadi.
“Memang rombongan dah sampai , masalahnya sekarang ni pengantin lelaki tak ada. Habis tu macam mana dengan pernikahan ni Pah?” Soal nek Wan tidak puas hati. Dadanya mula terasa sakit. Di usap dengan perlahan-lahan dadanya.
Amani kemudiannya bangun dan keluar dari biliknya. Dia mula mendekati keluarganya yang sedang berkumpul di ruang tamu.
“Kenapa ni ibu, nek wan?” Soal Amani ingin tahu. Di tenung setiap wajah yang ada di hadapannya.
“Pengantin lelaki kamu dah larikan diri Amani.” Jawab nek Wan dengan wajah sayu. Malah tangannya langsung tidak beralih dari mengusap dada. Nafasnya mula turun naik.
“Apa pengantin lelaki dah lari. Kenapa?” Soal Amani dengan terkejut. Sungguh dia tidak percaya.
“Maafkan nek Pah Amani. Cucu nek Pah dah tinggalkan rumah se……” Belum sempat nek Pah ingin jelaskan nek Wan Amani terlebih dahulu rebah.
“Ya Allah. Nek wan.” Jerit Amani dengan terkejut. Badan neneknya sempat di tangkap oleh mak ngah serta ayahnya.
“Mak .. mak kita ke hospital ya.” Encik Hisham membantu ibu mertuanya untuk bangun namun nek Wan membisu. Matanya saja memandang setiap wajah kesayangannya.
“Nek wan.. Nek wan. Kita ke hospital ya.” Amani sudah menangis .
“Amar cepat bawakan kereta. Kita bawak nek Wan ke hospital.” Jerit Puan Sa’adah pada anak lelakinya.
“Wan… Maafkan aku.. Aku minta maaf. Sebab aku kau jadi begini Wan.” Puan Sharifah Maimun mencapai tangan nek wan lalu di genggam erat. Nek wan hanya mampu berbicara dengan matanya saja. Dadanya sungguh sakit sekali.
“Pp…Pa…Pah….A..Am…Ama… Amani….” Nek Wan mula bersuara dengan tersekat-sekat.
“Nek Wan. Kita pergi hospital ya.” Pujuk Amani. Namun nek Wan hanya mengukir senyuman tawar.
“Mak mengucap mak..” Puan Sa’adah terus membisikkan sesuatu di telinga ibunya. Amani menggelengkan kepalanya berkali-kali. Tidak mahu kehilangan nenek yang di sayanginya.
“Abang Amar. Cepatlah angkat nek Wan ni.” Jerit Amani sebaik saja ternampak kelibat abangnya yang sedang berlari ke arahnya. Saat ini mata nek Wan merenung satu persatu wajah kesayangannya yang di mana semuanya basah dengan air mata. Bibir nek Wan cuba mengukir senyuman buat mereka. Senyuman terakhir untuk mereka. Dia dapat rasakan yang ajalnya sudah pun tiba.
“Mengucap mak.” Seru Encik Hisham pula. Bibir nek Wan terkumat-kamit dan selepas itu dengan perlahan-lahan mata nek wan tertutup. Malah waktu itu juga air matanya jatuh ke pipi tuanya. Amani terus meraung lalu memeluk neneknya .
“Nek Wan jangan tinggalkan Amani..” Nek Pah dan Puan Sharifah Noraini sudah teresak-esak melihat keadaan itu.
“Amani.. Jangan macam ni..” Pujuk Amar lalu menarik adiknya dengan perlahan-lahan sebelum di peluk dengan erat. Dia tahu Amani tidak dapat menerima keadaan yang sedang berlaku sekarang ini.
“EH Amani bila kau balik ni?” Sapa Maya sewaktu mengunci pintu. Amani terus tersentak. Dia kemudiannya menyapu air matanya sebelum menoleh pada Maya.
“Aku baru je balik . Alia mana?” Soal Amani.
“Kejap lagi dia datang bilik kita. Katanya nak pinjam cd drama korea yang kau dapat hari tu la. Eh bila nak packing barang. Kita nak pergi holiday kan.” Soal Maya sewaktu menghenyakkan punggungnya di atas katil. Terkebil-kebil mata Amani memandang Maya ketika ini.
“Kenapa Amani?” Maya pelik melihat Amani membisu.
“Maya aku rasakan…. kita….”
“Assalamualaikum.” Belum sempat Amani membuka cerita dah terjengkul wajah Alia di muka pintu bilik mereka. Terus mereka menoleh pada Alia.
“Haaa panjang umur. Baru je sebut.” Sengih Maya. Alia mendekati katil Amani lalu di henyakkan punggungnya di situ.
“Amani nanti nak pinjam cd drama Lee Dong Wook tau. Eh ni pasal nak pergi holiday ni . Baju bila nak pack ni?” Soal Alia.
“Yang tu la aku dengan Amani bincang tadi.” Maya dan Alia memadang Amani dengan senyuman.
“Aku rasa aku tak dapat pergi holiday tu.” Jelas Amani dengan serba salah.
“Kenapa pula?” Soal Alian dan Maya serentak.
“Aku kena balik kampung. Ibu aku nak buat kenduri tahlil untuk arwah nek wan jadi sebab tu aku kena tangguhkan dulu holiday kita tu. Kalau korang nak pergi juga korang pergi berdua eh. Aku minta maaf. Aku memang tak ada pilihan. Esok abang aku datang sini ambil aku. Lusa barulah aku dan family balik kampung.” Jelas Amani lalu menundukkan kepalanya.
“Macam tu pula. Eh kalau kau tak pergi tak ada maknanya aku pergi juga, tak mengapalah. Cuti kitakan panjang. Selesai majlis tahlil tu nanti baru kita rancang balik nak pergi bercuti. Apa kata kau Maya?” Soal Alia pada Maya.
“Aku setuju tu. Tak pun kalau kau tak boleh juga pergi holiday lepas ni kan apa kata aku dengan Alia pergi bercuti dekat kampung kau. Bolehkan?” Soal Maya dengan tiba-tiba.
“Aaah la. Aku setuju. Kau macam mana Amani?” Soal Alia dengan teruja.
“Ikut koranglah. Tapi Maya kau kena janji dengan aku satu perkara. Kalau kau nak pergi kampung aku nanti jangan bagitahu pada Encik Kamarul boleh? Aku tak nak dia tahu dekat mana aku berada. Please..” Mohon Amani. Maya terus menganggukkan kepalanya.
“Eee tak sabar pula aku nak pergi kampung Amani .” Alia mula teruja begitu juga dengan Maya. Mereka sudah dapat bayangkan suasana kampung. Namun wajah Amani tetap keruh dan tidak ceria.
“Amani kau okey ke? Kenapa aku tengok kau muram je. Eh tadi kau pergi mana ye?” Soal Alia sewaktu memandang wajah Amani yang sedang memikirkan sesuatu.
“Entahlah korang. Aku ada masalah sikit. Hmmm susah nak cakaplah. Perkara yang dua tahun lepas aku cuba lupakan kini kembali semula.” Jawab Amani sewaktu memandang Alia dan Maya.
“Apa maksud kau Amani? Aku tak faham. Kes dua tahun lepas kes yang kau kena kahwinkan dan di tinggalkan oleh bakal suami kau kan?” Soal Maya. Amani menganggukkan kepalanya dengan perlahan.
“Tadi aku ke rumah bakal suami aku yang lari dua tahun lepas. Keluarga dia nak jumpa aku.” Jelas Amani membuatkan Alia dan Maya terkejut besar.
“Apa yang mereka nak dari kau. Bukan ke semua dah selesai. Apa lagi yang tak kena?” Soal Alia ingin tahu. Amani menghela nafasnya dengan berat lalu membuka cerita apa yang terjadi sewaktu dia di pertemukan dengan keluarga nek Pah. Melihat dari riak wajah Alia dan Maya memang jelas mereka terkejut dengan apa yang di dengar oleh telinga mereka ketika ini.
********************************************
BAB ENAM BELAS
MALAM itu, Syed Rafique nekad untuk bertemu dengan neneknya. Persoalan siang tadi masih lagi menganggu fikirannya. Syed Rafique menuju ke bilik neneknya. Tiba saja di pintu , dia mengetuknya dengan perlahan-lahan.
“Nek dah tidur ke?” Soal Syed Rafique di luar. Kedengaran pintu di buka dari dalam.
“Rafique. Kenapa ni? Ada hal nak cakap dengan nenek kamu ke?” Soal Syed Bakar. Syed Rafique menganggukkan kepalanya.
“Siapa bang?” Soal Puan Sharifah Maimun. Dia membetulkan kaca matanya lalu melihat Syed Rafique yang baru saja melangkah masuk ke biliknya.
“Cucu nenek. Mari duduk sini.” Panggil Puan Sharifah Maimun . Syed Rafique terus mendekati katil tersebut lalu duduk di situ.
“Nek , Rafique nak tanya sikit boleh?” Soal Syed Rafique.
“Kamu nak tanya apa?”. Tuan Syed Bakar mengambil tempat duduknya lalu bersandar. Volume televisyen di perlahankan.
“Betul ke nenek Amani meninggal hari yang sepatutnya Rafique kahwin dan hari yang Rafique menghilangkan diri?” Soal Syed Rafique. Puan Sharifah Maimun menoleh pada suaminya. Tuan Syed Bakar terus menganggukkan kepala pada isterinya. Cucunya perlu tahu kisah itu.
“Memang betul. Nek Wan Amani meninggal pada hari tu. Dia terkejut Rafique hilang.”
“Pasti Amani sangat bencikan Rafique kan?” Soal Syed Rafique lagi. Nenek dan atuknya saling berpandangan.
“Rafique ada rahsiakan apa-apa ke dari kami?” Giliran Tuan Syed Bakar pula menyoal.
“Nenek tahu Rafique ada sembunyikan sesuatu dari kami kan? Nenek kenal cucu nenek yang ni. Bila Rafique nak bagitahu kami kenapa Rafique tinggalkan kami? Nenek yakin ianya bukan sebab kena kahwin je kan? Pasti ada sebab lain.” Puan Sharifah Maimun sudah mula mengorek rahsia dua tahun lalu. Dia yang membesarkan Syed Rafique jadi dia memang mengenali sangat hati budi cucunya itu.
“Hmmmm.. Buat masa ni Rafique tak bersedia lagi nak jawab soalan nenek dan atuk. Maafkan Rafique.” Mohon Syed Rafique. Hal ini turut melibatkan Zarith Aiman. Dia tidak mahu hubungan keluarganya dengan keluarga Zarith makin renggang. Jikalau neneknya mengetahui apa yang di lakukan oleh Zarith padanya pasti hubungan kekeluargaan yang dah renggang akan semakin jauh .
“Tak mengapalah. Nenek harap suatu hari nanti Rafique ceritakan pada kami sebabnya.” Puan Sharifah Maimun tidak mahu memaksa cucunya itu. Hubungan mereka baru saja pulih.
“Kamu kena bersiap sedia untuk bertemu dengan Amani minggu depan. Keluarga dia mengadakan majlis tahlil untuk arwah nek wan Amani. Nenek harap kamu beri peluang pada diri kamu untuk mengenali dia. Memang dia orang kampung tapi orang kampung yang berilmu, berakhlak yang baik. Kalau nenek dapat satukan kamu dengan dia bermakna nenek telah tunaikan hasrat nenek dan nek Wan Amani. Kamu kena ingat satu je. Pilihan nenek ini adalah untuk kebaikan dan melindungi kamu.” Jelas Puan Sharifah Maimun lagi.
“InsyaAllah. Rafique akan ikut sebab Rafique ingin sekali tau apa yang ada pada perempuan yang bernama Amani sehinggakan nenek sanggup jodohkan Rafique dengan dia sedangkan nenek tahu yang Rafique tak suka orang aturkan hidup Rafique.” Jawab Syed Rafique dengan tenang.
“Tak kenal maka tak cinta. Bila kamu dah kenal dia nanti atuk yakin yang kamu akan ubah persepsi kamu pada gadis kampung. Tak semua gadis kampung tu tak baik dan kaki kikis seperti mana yang kamu lalui bersama Nadira dulu.” Kata-kata yang keluar dari bibir Tuan Syed Bakar menyentakkan hati Syed Rafique.
“Atuk , nenek . Kita dah janjikan jangan buka cerita tu lagi. Perempuan tu pun dah terima balasan dia. Nadira dah pun meninggal. Usahlah di kenang pada cerita tu lagi. Rafique tak mahu ingat tentang dia lagi.” Nenek dan atuknya menganggukkan kepala tanda faham. Dia tahu apa yang terjadi pada Syed Rafique dengan arwah Nadira dulu merupakan penyebab utama mengapa Syed Rafique tidak menyukai gadis kampung. Bagi Syed Rafique kebanyakan yang asal dari kampung sedikit sebanyak akan mempunyai sifat sedemikian.
Amboi Syed Rafique, jangan sesekali sama orang kampung yang lain sama seperti Nadira dan jangan juga samakan Amani seperti arwah Nadira. Tak di nafikan ada segelintir yang memiliki sikap sedemikian tetapi jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga.
“La abang dekat sini rupanya. Puas mummy panggil tau.” Kedengaran suara Emelyn menyapa di telinga mereka.
“Abang kamu ni datang nak mengorek rahsia.” Seloroh nenek mereka. Emelyn tersenyum.
“Rahsia apa nek. Emelyn pun nak tahu juga.” Terus Emelyn mendekati katil neneknya lalu melompat naik. Terkebil-kebil dia memandang wajah nenek dan atuknya.
“Menyibuk je Emelyn ni kan atuk.” Emelyn terus mencebik pada abangnya.
“Biarlah nak meyibuk sekali sekala. By the way mummy pesan suruh abang turun bawah dan makan. Tadi masa kita makan malam jual mahal tak nak makan lepas tu mulalah abang tayang wajah lapar dekat mummy. Mengada-ngada . Tak padan dengan tua. Nak juga manja dengan mummy.” Dengan selamba Emelyn mengutuk abangnya. Itulah tujuannya mencari Syed Rafique .
“Kalau macam tu Emelyn temankan abang makan dekat bawah.” Syed Rafique terus bangun.
“Eh apasal pula. Makanlah sorang diri. Emelyn dah kenyanglah.” Jawab Emelyn. Namun dengan selambanya Syed Rafique menarik tangan adiknya .
“Alah teman kan je la. Ada geng nak borak. Jomlah. Lagipun abang nak korek rahsia sikit dari adik abang ni?” Emelyn hanya mengikut langkah abangnya dengan penuh tanda tanya. Atuk dan neneknya yang melihat hanya mampu tersenyum gembira. Kini Emelyn dan Syed Rafique sajalah yang menjadi pengubat hati mereka. Cucu yang lagi satu sukar sekali untuk mereka ke temu.
ZARITH Aiman baru saja pulang dengan keadaan mabuk. Dia kemudiannya menghempaskan badannya ke sofa .
“Astagfirulla’lazim. Zarith apa kena dengan kamu ni? Mabuk? Sejak bila kamu pandai minum ni? Hey tak cukup lagi ke didikan agama yang mama dan papa berikan pada kamu. Mengapa kamu boleh jadi begini Zarith. Kenapa Zarith.” Soal Puan Sharifah Zalida dengan terkejut saat terbau sesuatu yang memualkan di ruang tamu. Dia kemudiannya mengurut dadanya dengan perlahan-lahan.
“Apa ni mama. Bising je la. Kawan Zarith yang bagi minum. Party mama..” Jawab Zarith Aiman dengan selamba dengan mata yang terpejam. Selepas itu Zarith langsung tidak sedarkan diri. Puan Sharifah Zalida menggelengkan kepalanya . Sungguh dia terkejut melihat keadaan anak lelakinya itu. Belum pernah Zarith Aiman menyentuh minuman haram itu.
“Ya Allah apa nak jadi dengan anak aku. Lepas satu , satu yang dia lakukan.” Rintih Puan Sharifah Zalida dengan sedih.
“Ida kenapa ni? Bau apa ni?” Soal Syed Azman.
“Abang tengok Zarith mabuk. Saya tak tahu apa nak jadi dengan Zarith lepas ni. Apa lagi Zarith nak lakukan lepas ni. Dia dah tersasar ni bang. Zarith dah tak kenal haram halal ke bang?” . Bicara Sharifah Zalida sebaik saja menoleh pada suaminya.
“Astagfirullahal’azim. Apa dah jadi ni. Kenapa boleh mabuk macam ni? Dia tak pernah buat macam ni. Zarith apa lagi yang kamu cuba lakukan ni?” Soal Syed Azman dengan kecewa. Namun Zarith Aiman sudah pengsan di sofa.
“Hari tu dia tipu kita dengan penyakit dia bang. Dia buat Rafique datang ke sini semata-mata nak tengok keadaan dia. Tapi tengoklah apa dia buat. Dia tipu kita hidup-hidup. Kasihan dekat Rafique bang. Kali ni dia balik dengan keadaan mabuk macam ni. Apa kita nak buat ni bang. Ida risau kalau Zarith makin teruk. Dia langsung tidak mahu beritahu kita kenapa dia jadi begini. Risau saya bang. Sekarang dah belajar minuman yang di haramkan. Lepas ni apa pula dia nak lakukan?” Soal Sharifah Zalida pada suaminya.
“Abang rasa kita dah tak boleh menetap lagi di sini. Mungkin keadaan dia akan menjadi lebih teruk. Apa kata kita balik ke Malaysia. Rumah kita dekat sana. Kalau awak tak kisah kita bawa balik ke rumah umi dan abah.” Syed Azman memberikan cadangan yang menyebabkan isterinya tersentak dengan tiba-tiba.
“Balik rumah umi? Ida tak mahu. Kalau betul nak balik sana kita balik rumah kita. Ida tak nak jumpa umi dengan abah. Abang dah lupa ke apa yang dia dah lakukan pada kita? Umi dan abah buat kita seperti orang luar tau. Umi lebih penting abang Nal dari Ida . Abang lupa ke macam mana umi layan Zarith dulu. Dia buat Zarith seperti orang luar malah langsung tak nak peduli. Yang dia lebihkan pada Rafique. Apa anak kita ni bukan cucu dia ke?” Marah Puan Sharifah Zalida dengan tiba-tiba. Dia lari ke luar negara di sebabkan pergaduhan dengan orang tuanya tambahan pula ketika itu suaminya sibuk dengan urusan perniagaannya di negara tersebut.
“Ida , awak ni jangan mudah naik angin boleh tak? Umi bukannya layan Zarith seperti orang luar. Pasti ada sebab kenapa dia marahkan Zarith dulu. Abang tau Zarith tu satu-satunya anak kita dan juga anak kesayangan awak. Ida awak sedar tak selama ni awak dah manjakan Zarith sangat. Semua yang dia nak awak bagi. Kemewahan yang melebih-lebih. Cuba awak bandingkan cara awak dengan abang Nal tu.” Tegur Syed Azman. Sudah lama dia berdiam diri dengan karenah isterinya yang terlalu lebihkan Zarith dalam semua perkara. Malah dia sedar ibu mertuanya lakukan sedemikian untuk kebaikan anaknya bukan kerana pilih kasih di antara cucu.
“Jadi abang nak salahkan Ida apa yang jadi pada Zarith sekarang ni? Macam tu?” Soal Puan Sharifah Zalidah dengan riak tidak puas hati. Selepas itu Puan Sharifah Zalida terus berlalu dari situ. Setiap kali isu keluarganya ni bincangkan pasti dia akan meradang. Sememangnya dia tidak berpuas hati dengan cara ibunya yang terlalu lebihkan Syed Rafique dari Syed Zarith. Mereka bagaikan ada jurang.
AMANI akhirnya tiba di kampung halamannya. Sepanjang perjalanan dia banyak tidur sambil melayan koleksi mp3 miliknya. Sebaik saja dia keluar dari perut kereta dia melihat persekitaran rumahnya. Di hirup udara kampung yang sememangnya segar. Amani membantu abangnya untuk membawa keluar bagasi milik mereka sekeluarga. Encik Hisham bersama isterinya terus menuju ke pintu utama rumah mereka. Kunci di buka dengan perlahan-lahan.
“Assalamualaikum…” Sapa seseorang yang ketika itu sedang melintasi halaman rumah mereka. Amani dan Amar terus menoleh ke belakang.
“Waalaikumussalam. Eh mak ngah dari mana?” Soal Amani. Dia tersenyum memandang mak ngahnya yang berjalan masuk ke halaman rumah mereka.
“Mak ngah dari kedai tadi . Belikan santan . Esok mak ngah nak buat pulut sikit. Kak Tika kamu mengidam nak makan pulut kuning dengan rendang katanya. Berapa lama kamu cuti ni Amani?” Soal mak ngah Halimah lagi.
“Amani cuti dalam dua bulan mak ngah. Kak Tika mengandung ke mak ngah?” Soal Amani lalu melangkah menuju ke tangga rumahnya. Manakala di belakangnya pula ada mak ngahnya serta abangnya Amar.
“Lama juga tu kamu cuti. Aaah dia mengadung. Itulah balik hari ni cakap nak makan pulut . Esok-esok la mak ngah buat.” Amani kemudiannya menghilangkan dirinya ke dalam bilik.
“Kak long.. Macam mana dengan kesihatan Mak Pah dekat sana?” Soal mak ngah Halimah pada kakaknya. Puan Sa’adah ketika itu sudah pun berada di ruang tamu berehat sambil mengibas-ngibas wajahnya dengan selendang.
“Alhamdulilah ngah. Dia dah baik sikit. Ngah jangan lupa majlis kita minggu depan. Diorang pun akan datang nanti. Sama seperti yang kita rancangkan.” Ujar Puan Sa’dah dengan perlahan. Sesekali matanya melirik ke pintu bilik anak perempuan. Mak ngah Halimah tersenyum lalu menganggukkan kepalanya.
“Usahlah bimbang. Ngah akan tolong Kak long nanti. Ngah balik dulu la kak long. Berehatlah dulu. Nanti kita borak lagi. Jangan lupa suruh Amani pergi umah ngah esok ambil pulut ya.” Jawab Mak ngah Halimah.
“Yalah ngah. Nanti kak long sampaikan lagi pun esok kami ke sanalah. Dah lama tak jumpa Tika tu. Yalah bilah dah kahwin ngah masing-masing ikut suami.” Puan Sa’adah berdiri lalu menghantar adiknya ke pintu.
“Elok sangatlah tu. Datang ya esok. Ngah balik dulu. Assalamualaikum..” Mak Ngah Halimah mula meninggalkan rumah Amani.
“Eh ibu, mana mak ngah?” Soal Amani lalu mencari kelibat ibu saudaranya.
“Mak ngah dah balik. Esok dia suruh Amani ke sana.” Amani menganggukkan kepalanya lalu membantu ibunya membuka tingkap rumah mereka. Selepas itu Amani terus duduk di ruang tamu bertemankan televisyen .
“Abah nak ke mana pula tu. Kitakan baru je balik?” Soal Amani sebaik saja melihat abahnya sudah menukar pakaian dah bersia sedia untuk keluar.
“Abah nak pergi belakang sekejap. Nak tengokkan ayam itik dan lembu.” Jelas Encik Hisham lalu meninggalkan anak gadisnya di ruang tamu. Amani tersenyum.
“Amani nak ikut abang tak?” Soal Amar pula yang baru keluar dari biliknya.
“Nak ke mana?” Soal Amani dengan pelik.
“Ke mana lagi. Keluar cari makanlah. Kitakan baru sampai. Jadi kita beli makanan dekat luar je la. Ibu pun tengah berehat. Jalan jauh penatkan.” Amani tersengih.
“Okey kejap Amani pakai tudung balik. Abang tunggu dekat kereta eh.” Amani terus bergegas menuju ke biliknya dan bersiap.
“Eh eh eh perempuan malang yang bakal laki dia lari dua tahun lalu ada balik kampung rupanya. Apa khabar Amani. Macam mana belajar?” Jerit seseorang. Amani terkejut . Saat itu dia baru saja ingin menarik pintu kereta .
“La kau ke Ana. Aku baru je sampai. Alhamdulilah sihat dan pelajaran aku pun okey. Aku nak keluar ni. Jumpa lagi ya. Terima kasihlah sebab cakap aku ni malang. Aku akan ingat kata-kata kau tu ya.” Dengan senyuman Amani membidas. Ana terus mencebik sebaik saja mendengar jawapan Amani.
“Amani janganlah pedulikan si Ana tu. Jomlah kita gerak sekarang. Hari dah nak senja ni. Buang karan je layankan si Ana tu.” Arah Amar pula. Amani terus memboloskan dirinya bersama Amar di dalam kereta.
“Amboi Amar dengan aku bukan main jual mahal lagi. Sombong.” Cebik Ana sebelum dia meneruskan perjalanannya. Kereta Amar mula meninggalkan perkarangan rumah mereka.
“Abang Amar ni sepatutnya masa on the way balik tadi kita singgahlah dulu beli makanan.” Bebel Amani sewaktu kereta mula bergerak.
“Abang terlupalah tadi nak berhenti.” Amar menumpukan perhatiannya pada pemanduannya.
Bersambung
NotaTersepit: bab minggu depan pertemuaan Amani dan Rafique. Hehehe.. Jgn lupa ya. :)
BEST 3X.
ReplyDeletebaby Mio : Mekasih :D
Delete